Ipoh: Pengarah filem popular, Mohammad Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid, 51, kerugian kira-kira RM100,000 selepas rumahnya di Lebuh Hillview, Taman Ipoh Jaya Timur, di sini, dimasuki perompak.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, perompak berkenaan membawa lari kenderaan Mitsubishi Triton miliknya, termasuk wang tunai RM500, kamera antik, iPad dan alat permainan video.
Isterinya, Hasmah Hassan, 50, berkata hanya dia bersama dua anaknya berada di rumah kerana suaminya menjalani penggambaran filem di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Hasmah berkata, ketika kejadian dia bersama dua anaknya Mohd Khalid Adam Mohamad, 19, dan Nur Hassanah, 14, sedang tidur di bilik atas rumahnya sebelum menyedari kejadian itu ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.
Potong alat penggera
Katanya, perompak berkenaan dipercayai memotong alat penggera keselamatan sebelum memasuki rumahnya melalui jeriji besi tingkap dan hanya mencuri barangan yang berada di tingkat bawah.
“Perompak berkenaan masuk melalui tingkap pada bahagian tepi rumah hanya mengambil barangan di tingkat bawah rumah sahaja sebelum mengambil kunci kereta, kunci pintu hadapan serta kunci pintu pagar.
“Walaupun mengalami kerugian, namun kami sekeluarga bersyukur kerana kami tidak diapa-apakan,” katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment